Pada tahun 2006 dan 2007, YBhg. Tan Sri Hj. Ambrin Buang yang merupakan Ketua Audit Negara Malaysia pada masa itu juga meneruskan sambutan acara ini. Jabatan Audit Negara Negeri Selangor (tahun 2006) dan Jabatan Audit Negara Negeri Johor (tahun 2007) telah dipilih selaku tuan rumah. Sambutan pada tahun 2006 telah diadakan pada 5 Disember 2006 dan dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Dr. Haji Mohamad Khir Toyo, Menteri Besar Selangor pada masa tersebut. Manakala sambutan pada tahun 2007 pula telah diadakan pada 29 Oktober 2007 dan dirasmikan oleh YB. Dato' Haji Mohd. Ali Hassan, Speaker Dewan Negeri Johor pada tahun berkenaan. Objektif dan program yang sama masih dikekalkan dengan sedikit perubahan pada program sambutan setelah Jabatan memperkenalkan Program Anak Angkat. Sesi forum perdana pada tahun sebelumnya, digantikan dengan penyampaian Sijil Penyertaan Program Anak Angkat kepada agensi persekutuan dan negeri serta penyampaian sumbangan buku kepada sekolah terpilih di sekitar negeri Selangor dan Johor. Program pameran dan kaunter bertemu pelanggan dikekalkan.
Pada tahun 2008, Hari Audit Se Malaysia diteruskan di mana Akademi Audit Negara telah dipilih sebagai lokasi dan dirasmikan oleh YB. Dato' Seri Azmi Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada masa berkenaan. Antara program yang telah disusun untuk majlis ini adalah pelancaran Portal Jabatan Audit Negara, penyampaian sijil Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti, penyampaian Sijil Penyertaan Program Anak Angkat dan sumbangan buku kepada sekolah terpilih. Program ini merupakan tentatif tahunan sehingga tahun 2016.
Pada tahun 2012, nama Hari Audit Se Malaysia telah ditukarkan kepada Hari Audit 1Malaysia. Nama berkenaan digunakan dari tahun 2012 hingga 2016. Pada tahun 2017, sambutan dinamakan sebagai Hari Audit 1Malaysia Negaraku dan pada tahun 2018, nama ditukar kepada 'Hari Audit' sahaja.
Persidangan Juruaudit Sektor Awam pula pertama kali diadakan diadakan pada 21 dan 22 Julai 2009 bertempat di Hotel Grand Bluewave, Selangor Darul Ehsan. Persidangan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Setia Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara Malaysia. Persidangan berkenaan telah dihadiri oleh seramai 700 juruaudit pelbagai peringkat dari Jabatan Audit Negara dan Unit Audit Dalam. Objektif persidangan adalah untuk mendedahkan juruaudit kepada bidang, teknik dan pendekatan pengauditan yang terkini sejajar dengan perkembangan semasa. Ia juga untuk memberi peluang kepada juruaudit berkongsi pengalaman, pengetahuan dan pandangan dalam aspek pengauditan sektor awam.
Persidangan ini juga diadakan untuk mewujudkan forum perbincangan mengenai isu-isu semasa dan juga mewujudkan interaksi yang lebih rapat di kalangan juruaudit pelbagai peringkat. Kertas kerja yang dibentangkan merangkumi isu mengenai krisis kewangan global, risiko strategik, pencegahan rasuah di sektor awam, pengauditan dan inovasi dalam pengauditan melalui penggunaan ICT telah dibentangkan semasa persidangan. Para pembentang adalah terdiri daripada pegawai Jabatan Audit Negara dan pegawai daripada agensi luar seperti KPMG, SPRM dan sebagainya.
Bermula pada tahun 2010, Sambutan Hari Audit Se Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam dilaksanakan bersekali di mana sambutan didahului dengan Hari Audit Se Malaysia dan disusuli dengan Persidangan Juruaudit Sektor Awam. Selain itu, terdapat program sampingan juga telah diaturkan sepanjang sambutan tersebut seperti Program Sukan, Majlis Makan Malam Bersama Ketua Audit Negara Malaysia, Ceramah/Kursus Berskala Besar, Mutiara Integriti, Program Kecergasan Jabatan, Perasmian Persatuan Alumni Audit Negara (ASNA) dan Program Kemasyarakatan.
Pada tahun 2017, di bawah kepimpinan YBhg. Tan Sri Dr. Madinah Mohamad, penyampaian sijil Anugerah Kecermerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti semasa sambutan Hari Audit tidak diteruskan. Sambutan Hari Audit pada tahun 2017 dan 2018 merupakan majlis dalaman JAN, tidak melibatkan media dan dirasmikan oleh Ketua Audit Negara Malaysia. Antara program majlis adalah persembahan klip video Jabatan serta pelancaran Garis Panduan dan terbitan dalaman JAN.
Sepanjang tahun 2005 hingga 2021, sambutan Hari Audit telah diadakan di lokasi/ negeri berikut:
TAHUN | LOKASI | TEMA | SAMBUTAN |
2021 | Diadakan Secara Dalam talian (Ibu Pejabat, JAN) |
Juruaudit Mendepani Cabaran Norma Baharu: Memperkasa Akauntabiliti Awam | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2020 | Ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) | ||
2019 | Hotel Jen Penang by Shangri-La, Pulau Pinang 2 - 4 Oktober 2019 |
Profesionalisme Juruaudit Memperkasa Akauntabiliti Awam | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam |
2018 | Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan | Kebebasan Juruaudit Meningkatkan Integriti Sektor Awam | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2017 | Hotel Everly, Putrajaya | Juruaudit Berkualiti Memantapkan Akauntabiliti | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2016 | Melaka International Trade Centre (MITC), Alor Gajah, Melaka | Peranan Juruaudit Dalam Menjayakan Matlamat Pembangunan Lestari Negara | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2015 | Hotel Casuarina@Meru, Ipoh, Perak | Pemantapan Profesionalisme Menjamin Audit Berkualiti | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2014 | Hotel Grand Alora, Alor Setar, Kedah | Kesiapsiagaan Juruaudit Menghadapi Rancangan Malaysia Ke-11 | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2013 | Hotel Riverside Majestic, Kuching, Sarawak | Audit Berkualiti Mendukung Kesejahteraan Rakyat dan Negara | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2012 | Hotel Zenith, Kuantan, Pahang | Pemantapan Pengurusan Kewangan Membantu Transformasi Negara | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2011 | Akademi Audit Negara, Nilai, Negeri Sembilan | Kreativiti dan Inovasi Memacu Pengauditan Berkualiti | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2010 | Permaisuri Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan | Peranan Juruaudit Ke Arah Merealisasikan Program Transformasi Negara | Hari Audit dan Persidangan Juruaudit |
2009 | Hotel Grandwave, Shah Alam, Selangor | Pengukuhan Kompetensi Ke Arah Pengauditan Berkualiti | Persidangan |
2009 | Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man Terengganu | Membantu Negara Berbelanja Secara Berhemat | Hari Audit |
2008 | Akademi Audit Negara, Nilai, Negeri Sembilan | Peranan Juruaudit Ke Arah Membudayakan Perbelanjaan Berhemat | Hari Audit |
2007 | The Zon Regency Hotel, Johor Bharu, Johor | Sumbangan Juruaudit Ke Arah Mempertingkatkan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam | Hari Audit |
2006 | Hotel Grandwave, Shah Alam, Selangor | Peranan Juruaudit Ke Arah Menjayakan RMK9 | Hari Audit |
2005 | Dewan Perdana, PICC, Putrajaya | Pengauditan Berkualiti Memperkukuhkan Akauntabiliti Dan Integriti | Hari Audit |